Thursday, April 21, 2011

Mengapa Pentingnya Menjaga Roh?

Lazimnya manusia sangat memberi perhatian dan mengawasi kesihatan fizikal. Pengawasan dibuat dengan seribu satu macam cara. Anehnya, tidak demikian sikap manusia dalam menghadapi penyakit hati atau rohani. Sama ada manusia mengambil sikap terus tidak peduli atau memandang remeh terhadap persoalan hati atau roh. Padahal kesan dan akibat daripada penyakit hati atau roh bukan sahaja mencetuskan berbagai kejahatan dan 
kemungkaran malah akan diseksa di Neraka Allah SWT di akhirat kelak, wal’iyazubillah.



Marilah sama-sama kita lihat mengapa terlalu pentingnya menjaga hati atau roh yang diantaranya seperti berikut :
1.      Kerana roh itu kekal atau dikekalkan, tidak seperti fizikal (jasad lahir), ia binasa. Di akhirat kelak, roh itu akan diberi jasad baru.
2.      Roh kalau ia bersih, Allah beri ia rasa yang tepat atau firasat.
3.      Sikap jasad lahir atau tingkah laku adalah pancaran dari hati atau roh sama ada baik ataupun buruk.
4.      Kerana ia boleh menerima sifat-sifat mahmudah yang dikehendaki dan juga boleh menerima sifat-sifat mazmumah yang dibenci dan dikeji yang sayugianya hendaklah dibuang atau dibenci.
5.      Hati tempat penglihatan dan nilaian Allah manakala jasad lahir tempat pandangan makhluk.
6.      Hidayah yang lahir, ia adalah punca dari yang batin atau roh atau hati.
7.      Ketahanan yang lahir adalah berpunca daripada ketahanan yang baik yakni roh atau hati.
8.      Penyakit lahir hanya manusia yang benci, tapi penyakit batin Allah yang benci.
9.      Rasulullah SAW menyuruh takut dengan pandangan mata hati atau pandangan roh. Allah tidak mengatakan agar takut kepada pandangan mata kasar.
10.  Penyakit lahir tidak membawa permusuhan, perpecahan dan peperangan, tapi penyakit batin membawa pergaduhan, perpecahan dan peperangan.

Oleh kerana pentingnya hati dan roh, maka ia hendaklah dijaga sungguh-sungguh iaitu :
a.       Wajib kita member makanan yang cukup. Makanannya ialah sembahyang, zikrullah, membaca Al-Quran, tasbih, tahmid, selawat, melihat kebesaran-Nya melalui pemandangan dan mengingati mati.
b.      Memberi ia pakaian iaitu dengan sifat-sifat Taqwa.
c.       Jauhkan dari sebarang penyakit seperti marah, bakhil, pendendam, sombong, riak, ujub dan sebagainya.
d.      Muhasabah terhadapnya selalu.
e.       Sanggup bermujahadah, membersihkan dan memberi ia makan serta pakaian.


Wednesday, February 16, 2011

SYARIAT, TARIQAT, HAQIKAT & MAKRIFAT


Manusia berjaya mengatur hidupnya secara yang dikehendaki oleh Islam (mengikut tuntutan Al Quran dan Sunnah), mestilah menempuh empat perkara:

1. Syariat.
2. Tariqat.
3.Hakikat.
4.Makrifat.

1. Syariat
i. Syariat Lahir
ii. Syariat Batin.

i. Syariat Lahir.
Iaitu apa sahaja amalan-amalan lahir yang berbentuk perintah sama ada wajib atau sunat, larangan sama ada yang haram atau makruh dan amalan yang kedudukannyan harus/mubah. Syariat lahir itu pula terbahagi kepada dua:
a. Hablumminallah – hubungan dengan Allah, seperti persoalan ibadah solat, puasa, zakat, haji, membaca Al Quran, doa, zikir dan seumpamanya.
b. Hablumminannas – hubungan sesama manusia, seperti dalam bidan muammalat (jual beli), munakahat (nikah kahwin), soal siasah (politik), jihad, pentadbiran dan seumpamanya.

ii. Syariat Batin.
Iaitu amalan roh/hati yang berbentuk perintah dan tegahan. Amalan berbentuk perintah adalah segala sifat-sifat terpuji (mahmudah) sementara amalan tegahan pula adalah sifat terkeji (mazmumah). Syariat Batin juga ada dua iaitu:
a. Akhlak dengan Allah – seperti mengenal Allah dengan Yakin, merasa kehebatan Allah, merasa gerun dengan neraka Allah, merasa hina diri dan malu dengan Allah, meredhai setiap taqdir dan ketentuan Nya. Mensyukuri nikmat Allah, menyintai Allah, tawakal kepada Allah, harap pada rahmat Allah, rindu pada Allah, sentiasa mengingati Allah dan lain-lain.
b. Akhlak dengan manusia – antaranya mengasihi orang lain seperti mengasihi dirinya sendiri, pemurah, bertolak ansur, berbaik sangka terhadap orang Islam, tawadhuk, menghormati sesama manusia dan lain-lain.
Syariat Allah itu diikat dengan lima hukum (wajib, sunat, haram, makruh dan harus), yang menyuluh persoalan Usuluddin/Tauhid, Feqah dan Tasawuf. Ini bermaksud setiap ilmu itu perlulah berasaskan kepada Al Quran, hadis dan Istinbat para ulama’ yang berasaskan kepada Al Quran dan Hadis.

2. Tariqat.
Tariqat dalam bahasa Arab bermaksud jalan. Justeru itu tariqat yang hendak dibahaskan adalah jalan untuk menuju Allah. Apa yang boleh dihuraikan disini adalah tariqat itu terbahagi kepada dua:

i. Tariqat wajib – iaitu syariat yang telah Allah tetapkan berbentuk ilmu yang di amalkanguh-sunguh. Contoh yang boleh dihuraikan adalah sembahyang/solat. Ilmu solat itu diamalkan (mengamalkan itulah tariqat, sementara solat fardhu itu wajib). Justeru itu, mengerjakan solat itu adalah tariqat wajib. Belajar ilmu solat dan mengerjakan solat bila sampai waktunya itulah Tariqat wajib yang perlu semua umat Islam amalkan.

ii. Tariqat sunat – iaitu satu amalan sunat yang dijalankan secara disiplin yang tertentu untuk mendapat rahmat dan kasih sayang dari Allah swt. Antara Tariqat sunat yang terdapat dan masyhur di Malaysia adalah seperti Naqsyabandiah, Satariah, Qadiriah, Ahmadiah Idrusiah, Naqsyabandi Qadariah, Muhammadiah, Hadadiah dan banyak lagi.
Kesimpulannya, tariqat wajib itu, memang diwajibkan ke atas setiap orang yang mukallaf untuk mengamalkannya. Sementara tariqat sunat pula diamalkan oleh mereka yang bersungguh-sungguh untuk membaiki diri mereka dengan pimpinan ulama-ulama’ yang haq. Adalah disarankan untuk kita mengamalkan tariqat sunat untuk memudahkan kita dalam menempuh jalan menuju Allah swt. Mereka yang menjalankan tariqat sunat ini akan mendapat bantuan dalam bermujahadah dengan nafsunya dan mendidik hati kea rah taqwa.
Perlu diingat, dalam kita mengamalkan tariqat sunat, kita sama sekali tidak boleh mengabaikan tariqat wajib, kerana tiada nilai amal sunat jika tiada amal wajib.

3. Hakikat.
Setelah seseorang itu, bersyariat dan bertariqat sungguh-sungguh dia akan dapat merasakan Hakikat. Iaitu satu rasa yang Allah campakkan ke dalam hati hamba Nya yang dipilih oleh Nya. Orang yang menjadi pilihan ini adalah mereka yang telah melalui pembersihan hati dan boleh dikatakan hatinya telah bersih dari sifat-sifat mazmumah. Sifat-sifat mahmudah/terpuji telah menghiasi hati hamba Allah ini. Rasa syukur, redha, zuhud, tawakal, pemurah dan lain-lain lagi sudah mekar cantik di dalam hatinya hingga tergambar keikhlasan itu pada wajahnya, tindak-tanduknya, pendek kata jawarihnya telah menjadi magnet yang mampu menarik orang lain senang menghampirinya. Ketenangan dan kedamaian terpancar padanya kerana Allah telah letakkan ke dalam hatinya rasa tenang dan damai itu. Firman Allah dalam surah Ar Ra’ad ayat 28 yang bermaksud, "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah itu itu hati akan tenang.".
Ahli zikrullah itu, adalah mereka yang melazimkan diri mereka dengan mulutnya berzikir memuji Allah swt, hati akan merasai kebesaran dan kehebatan Allah swt, lantas jawarihnya/jasadnya melaksanakan perintah Allah. Pendekata, soal hakikat itu tidak dapat dipelajari kerana hakikat itu adalah pemberian dari Allah kepada hambanya yang bertariqat berpandukan kepada syariat. Siapa yang dapat menjadi pilihan Allah dia akan merasai kemanisan Hakikat itu. Orang yang telah mendapat hakikat, dikatakan orang yang benar-benar mengenal Allah swt..

4. Makrifat.
Manakala orang yang telah sampai ke peringkat makrifat pula dikatakan mereka adalah golongan Al "Arifubillah atau golongan Al ‘Arifin. Mereka ini mengenal Allah dengan mata hati, dan mereka telah mencapai taraf hamba yang bertaqwa. Mereka benar-benar dapat melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah.sekalipun yang makruh.
Jika ada orang yang melaksanakan sungguh-sungguh syariat, dan faham sungguh-sungguh pula hukum yang lima itu tetapi malangnya tidak tenang, tidak redha, tidak sabar dan lain-lain, kenalah periksa diri atau muhasabah diri semula. Takut-takut ada kesilapan dibidang Tauhid,, atau mungkin di sudut feqah, atau mungkin pula dibidang tasawuf
Oleh itu, ajaran Islam ini bukanlah berbentuk cakap-cakap sahaja, ia perlu di amalkan lahiriah dan batiniah. Moga-moga menjadi hamba Allah yang soleh atau yang disebut Al ‘Arifubillah yang akan mendapat kemenangan di dunia dan akhirat..
Syariat ialah peraturan-peraturan lahir dan batin (hukum dari Allah/ahkamullah) yang telah ditetapkan oleh Nya di dalam Al Quran dan Hadis serta istinbat para ulama’ yang berteraskan Al Quran dan Hadis Rasulullah saw pada setiap ilmu seperti ilmu tauhid, feqah dan tasawuf. Syariat itu pula terbahagi kepada dua iaitu;
.

Wednesday, January 19, 2011

SABAR

Sabar adalah satu topik yang menarik untuk kita bincangkan. ramai orang menasihati kita untuk bersabar tetapi mereka sendiri tidak sabar. cuba kita fahami firman Allah swt dalam Al Quran surah Sajadah ayat 24 yang bermaksud," Dan Kami (Allah) jadikan dikalangan mereka beberapa pemimpin, yang memimpin kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat Kami ". Memimpin masyarakat kepada kebaikan pun kena sabar, membuat perubahan hidup pun kena sabar dengan cemuhan dan kutukan. Lantaran itu jelaslah sabar itu sesuatu yang perit. Ibnu Abbas berkata, mengikut pandangan Hujjatul Islam Imam Al Ghazali rhm, " Kesabaran dalam Al Quran itu ada 3 macam, iaitu kesabaran untuk menunaikan kewajipan kerana Allah dan ia mempunyai 300 darjat, kesabaran untuk tidak melanggar larangan Allah pula mempunyai 600 darjat, dan kesabaran dalam menghadapi musibah mempunyai 900 darjat. Sesungguhnya pada iman itu sebahagian darinya adalah sabar dan sebahagian lagi darinya pula adalah syukur. Dari itu beruntunglah mereka yang bersabar kerana di situ ada kasih sayang dari Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Mengetahui. Wallahu'alam.

Sunday, January 9, 2011

Berjiwa Besar

Ulama' ada bermadah " Membangunkan Syariat biarlah atas dasar Iman dan Taqwa bukan atas dasar desakan orang atau terdesak dengan masalah kerana Syariat itu tuntutan Allah bukan tuntutan manusia dan kehidupan " 


Ulama' mengingatkan lagi " Janganlah rukun Iman dan rukun Islam dihurai sebagai ilmu dan falsafah sahaja, ia memerlukan penghayatan dan amalan yang berterusan untuk memberi kesan kepada jiwa dan kehidupan "


Manusia dan masalah sama seperti manusia dan anggota lahir. Tiada siapa yang meminta kejadian rupa paras kita seperti yang kita ada kini. Ertinya bukan kehendak kita, tetapi kita mesti terima seadanya. Tidak ada manusia yang meminta masalah, namun tidak ada manusia yang dapat lepas dari masalah. Manusia hanya perlu menghindari masalah dan jangan mencetus masalah. Bukan semua masalah perlu diselesaikan. Oleh itu masalah Allah datangkan mengikut keupayaan jiwa seseorang. Namun orang yang berjiwa besar, masalah yang besar menimpanya dirasakan bagaikan tiada apa-apa masalah dalam hidupnya. Bahkan semua masalah itu dirasakannya sebagai satu keuntungan, maka hidupnya tenang, bahagia, sejahtera, ceria, dan sentiasa gembira.

Wallahu'alam.

Tuesday, January 4, 2011

Pesanan

Imam Ghazali rhm menegaskan,
" Perbuatan yang dilakukan berulang-ulang kali dalam sesuatu tempoh waktu memberi pengaruh yang mantap dalam jiwa "

Manakala Sheikh Muhammad Nafis Idris Al Banjari pula mengingatkan ada tiga (3) rintangan yang perlu dilalui sewaktu melakukan riadah nafsu :-

  1. Kasal (malas) dalam beribadah 
  2. Futur (lemah fikiran) - tidak memiliki tekad yang kuat
  3. Malal (bosan) dalam melakukan ibadah

Monday, January 3, 2011

INGATAN DI TAHUN BARU

Assalamualaikum wrh. wkt.,

Ramai pejuang kebenaran menyuarakan kepada kita ,"Kembalilah kepada Agama, ayuh tegakkan Al Quran dan Sunnah, Ambillah Islam sebagai cara hidup". tapi adakah kita sedar apa yang kita lafazkan? adakah kita benar-benar tahu apa yang dikatakan kembali kepada Agama itu? Sahabat, memahami agama adalah memahami isi Al Quran dan Hadis Rasulullah saw. Apakah didikan dan pelajaran yang terhimpun didalam Al Quran dan Hadis itu jika bukan Ilmu berkaitan ketauhidan (Ilmu Tauhid / Usuluddin), ilmu berkaitan pengamalan dalam agama (Feqah / Fiqih), dan ilmu berkaitan penjagaan hati (Tasawwuf). Ingin saya tegaskan, memahami ketiga-tiga ilmu inilah yang dikatakan memahami Agama. Sudahkah kita memahami isi kandungan agama kita? Ayuh kita fikirkan sejenak. dalam Ilmu Tauhid ada berapa hukum yang perlu kita faham? dalam ilmu Feqah ada berapa rubuk ilmu yang kita kena ketahui? sementara dalam ilmu Tasawwuf pula ada berapa penyakit hati yang mesti kita didik? Lantaran itu jangan kita mengeluh jika kita tidak mendapat bantuan Allah. Sebelum kita pergi lebih jauh lagi, kita sendiri masih belum mengenali diri kita yang sebenar-benarnya. Sesunguhnya Manusia itu sendiri terdiri dari empat (4) unsur. Empat unsur itu adalah:
1. Jasad.
2. Akal
3. Nafsu.
4. Roh.

InsyaAllah untuk kali ini saya suka menghuraikan tentang empat (4) unsur manusia itu dahulu. Mudah-mudahan saya akan bertambah faham dengan apa yang saya akan sampaikan.
1. Jasad - Ia memerlukan penjagaan yang rapi dari sudut kebersihan dan kesihatan. Jasad perlu kepada kesucian makanan dan kecergasan tubuh badan. Apabila Jasad kita sihat, kita senang untuk beribadah, sama ada ibadah khusus ataupun ibadah umum. sama ada ibadah kepada Khaliq atau ibadah sesama manusia (Hablimminallah atau Hablumminannas).
2. Akal: Akal manusia itu pula terbahagi kepada enam (6) peringkat;
a. Akal bodoh.
b. Akal lemah.
c. Akal biasa.
d. Akal cerdik biasa.
e. Akal genius.
f. Fathanah.

Inilah enam pringkat akal. Persoalannya kita diperingkat yang mana? Sementara Nafsu pula satu hal yang perlu diberi perhatian serius. Terdapat tujuh (7) peringkat nafsu:
a. Amarah.
b. Lawwamah.
c. Mulhammah.
d. Mutmainnah.
e. Radhiah.
f. Mardhiah.
g. Kamillah.

Akhirnya, sudahkah kita kenal roh kita? Roh ada 4 bahagian pula,
1. Roh yang hitam legam
2. Roh yang Kelabu
3. Roh yang bersih
4. Roh yang bercahaya.

Renungkanlah wahai sahabat-sahabat ku. Di manakah kita? Sudah Fahamkah kita dengan Agama kita? atau kita akan jadi apa? Malanglah jika kita menjadi orang yang tidak teringat mati, tatkala melihat orang mati kerana ini bermakna orang itu jiwanya telah mati sebelum mati. Mungkinkah kita akan menjadi seperti fitrah bila kita lahir kita akan menangis dan meraka yang melihat kita akan tersenyum dan apabila kita pergi kembali kehadrat Ilahi orang yang menziarahi kita akan menangis sedangkan kita akan tersenyum gembira. Wallahualam