Wednesday, February 16, 2011

SYARIAT, TARIQAT, HAQIKAT & MAKRIFAT


Manusia berjaya mengatur hidupnya secara yang dikehendaki oleh Islam (mengikut tuntutan Al Quran dan Sunnah), mestilah menempuh empat perkara:

1. Syariat.
2. Tariqat.
3.Hakikat.
4.Makrifat.

1. Syariat
i. Syariat Lahir
ii. Syariat Batin.

i. Syariat Lahir.
Iaitu apa sahaja amalan-amalan lahir yang berbentuk perintah sama ada wajib atau sunat, larangan sama ada yang haram atau makruh dan amalan yang kedudukannyan harus/mubah. Syariat lahir itu pula terbahagi kepada dua:
a. Hablumminallah – hubungan dengan Allah, seperti persoalan ibadah solat, puasa, zakat, haji, membaca Al Quran, doa, zikir dan seumpamanya.
b. Hablumminannas – hubungan sesama manusia, seperti dalam bidan muammalat (jual beli), munakahat (nikah kahwin), soal siasah (politik), jihad, pentadbiran dan seumpamanya.

ii. Syariat Batin.
Iaitu amalan roh/hati yang berbentuk perintah dan tegahan. Amalan berbentuk perintah adalah segala sifat-sifat terpuji (mahmudah) sementara amalan tegahan pula adalah sifat terkeji (mazmumah). Syariat Batin juga ada dua iaitu:
a. Akhlak dengan Allah – seperti mengenal Allah dengan Yakin, merasa kehebatan Allah, merasa gerun dengan neraka Allah, merasa hina diri dan malu dengan Allah, meredhai setiap taqdir dan ketentuan Nya. Mensyukuri nikmat Allah, menyintai Allah, tawakal kepada Allah, harap pada rahmat Allah, rindu pada Allah, sentiasa mengingati Allah dan lain-lain.
b. Akhlak dengan manusia – antaranya mengasihi orang lain seperti mengasihi dirinya sendiri, pemurah, bertolak ansur, berbaik sangka terhadap orang Islam, tawadhuk, menghormati sesama manusia dan lain-lain.
Syariat Allah itu diikat dengan lima hukum (wajib, sunat, haram, makruh dan harus), yang menyuluh persoalan Usuluddin/Tauhid, Feqah dan Tasawuf. Ini bermaksud setiap ilmu itu perlulah berasaskan kepada Al Quran, hadis dan Istinbat para ulama’ yang berasaskan kepada Al Quran dan Hadis.

2. Tariqat.
Tariqat dalam bahasa Arab bermaksud jalan. Justeru itu tariqat yang hendak dibahaskan adalah jalan untuk menuju Allah. Apa yang boleh dihuraikan disini adalah tariqat itu terbahagi kepada dua:

i. Tariqat wajib – iaitu syariat yang telah Allah tetapkan berbentuk ilmu yang di amalkanguh-sunguh. Contoh yang boleh dihuraikan adalah sembahyang/solat. Ilmu solat itu diamalkan (mengamalkan itulah tariqat, sementara solat fardhu itu wajib). Justeru itu, mengerjakan solat itu adalah tariqat wajib. Belajar ilmu solat dan mengerjakan solat bila sampai waktunya itulah Tariqat wajib yang perlu semua umat Islam amalkan.

ii. Tariqat sunat – iaitu satu amalan sunat yang dijalankan secara disiplin yang tertentu untuk mendapat rahmat dan kasih sayang dari Allah swt. Antara Tariqat sunat yang terdapat dan masyhur di Malaysia adalah seperti Naqsyabandiah, Satariah, Qadiriah, Ahmadiah Idrusiah, Naqsyabandi Qadariah, Muhammadiah, Hadadiah dan banyak lagi.
Kesimpulannya, tariqat wajib itu, memang diwajibkan ke atas setiap orang yang mukallaf untuk mengamalkannya. Sementara tariqat sunat pula diamalkan oleh mereka yang bersungguh-sungguh untuk membaiki diri mereka dengan pimpinan ulama-ulama’ yang haq. Adalah disarankan untuk kita mengamalkan tariqat sunat untuk memudahkan kita dalam menempuh jalan menuju Allah swt. Mereka yang menjalankan tariqat sunat ini akan mendapat bantuan dalam bermujahadah dengan nafsunya dan mendidik hati kea rah taqwa.
Perlu diingat, dalam kita mengamalkan tariqat sunat, kita sama sekali tidak boleh mengabaikan tariqat wajib, kerana tiada nilai amal sunat jika tiada amal wajib.

3. Hakikat.
Setelah seseorang itu, bersyariat dan bertariqat sungguh-sungguh dia akan dapat merasakan Hakikat. Iaitu satu rasa yang Allah campakkan ke dalam hati hamba Nya yang dipilih oleh Nya. Orang yang menjadi pilihan ini adalah mereka yang telah melalui pembersihan hati dan boleh dikatakan hatinya telah bersih dari sifat-sifat mazmumah. Sifat-sifat mahmudah/terpuji telah menghiasi hati hamba Allah ini. Rasa syukur, redha, zuhud, tawakal, pemurah dan lain-lain lagi sudah mekar cantik di dalam hatinya hingga tergambar keikhlasan itu pada wajahnya, tindak-tanduknya, pendek kata jawarihnya telah menjadi magnet yang mampu menarik orang lain senang menghampirinya. Ketenangan dan kedamaian terpancar padanya kerana Allah telah letakkan ke dalam hatinya rasa tenang dan damai itu. Firman Allah dalam surah Ar Ra’ad ayat 28 yang bermaksud, "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah itu itu hati akan tenang.".
Ahli zikrullah itu, adalah mereka yang melazimkan diri mereka dengan mulutnya berzikir memuji Allah swt, hati akan merasai kebesaran dan kehebatan Allah swt, lantas jawarihnya/jasadnya melaksanakan perintah Allah. Pendekata, soal hakikat itu tidak dapat dipelajari kerana hakikat itu adalah pemberian dari Allah kepada hambanya yang bertariqat berpandukan kepada syariat. Siapa yang dapat menjadi pilihan Allah dia akan merasai kemanisan Hakikat itu. Orang yang telah mendapat hakikat, dikatakan orang yang benar-benar mengenal Allah swt..

4. Makrifat.
Manakala orang yang telah sampai ke peringkat makrifat pula dikatakan mereka adalah golongan Al "Arifubillah atau golongan Al ‘Arifin. Mereka ini mengenal Allah dengan mata hati, dan mereka telah mencapai taraf hamba yang bertaqwa. Mereka benar-benar dapat melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah.sekalipun yang makruh.
Jika ada orang yang melaksanakan sungguh-sungguh syariat, dan faham sungguh-sungguh pula hukum yang lima itu tetapi malangnya tidak tenang, tidak redha, tidak sabar dan lain-lain, kenalah periksa diri atau muhasabah diri semula. Takut-takut ada kesilapan dibidang Tauhid,, atau mungkin di sudut feqah, atau mungkin pula dibidang tasawuf
Oleh itu, ajaran Islam ini bukanlah berbentuk cakap-cakap sahaja, ia perlu di amalkan lahiriah dan batiniah. Moga-moga menjadi hamba Allah yang soleh atau yang disebut Al ‘Arifubillah yang akan mendapat kemenangan di dunia dan akhirat..
Syariat ialah peraturan-peraturan lahir dan batin (hukum dari Allah/ahkamullah) yang telah ditetapkan oleh Nya di dalam Al Quran dan Hadis serta istinbat para ulama’ yang berteraskan Al Quran dan Hadis Rasulullah saw pada setiap ilmu seperti ilmu tauhid, feqah dan tasawuf. Syariat itu pula terbahagi kepada dua iaitu;
.

No comments:

Post a Comment