Thursday, April 21, 2011

Mengapa Pentingnya Menjaga Roh?

Lazimnya manusia sangat memberi perhatian dan mengawasi kesihatan fizikal. Pengawasan dibuat dengan seribu satu macam cara. Anehnya, tidak demikian sikap manusia dalam menghadapi penyakit hati atau rohani. Sama ada manusia mengambil sikap terus tidak peduli atau memandang remeh terhadap persoalan hati atau roh. Padahal kesan dan akibat daripada penyakit hati atau roh bukan sahaja mencetuskan berbagai kejahatan dan 
kemungkaran malah akan diseksa di Neraka Allah SWT di akhirat kelak, wal’iyazubillah.



Marilah sama-sama kita lihat mengapa terlalu pentingnya menjaga hati atau roh yang diantaranya seperti berikut :
1.      Kerana roh itu kekal atau dikekalkan, tidak seperti fizikal (jasad lahir), ia binasa. Di akhirat kelak, roh itu akan diberi jasad baru.
2.      Roh kalau ia bersih, Allah beri ia rasa yang tepat atau firasat.
3.      Sikap jasad lahir atau tingkah laku adalah pancaran dari hati atau roh sama ada baik ataupun buruk.
4.      Kerana ia boleh menerima sifat-sifat mahmudah yang dikehendaki dan juga boleh menerima sifat-sifat mazmumah yang dibenci dan dikeji yang sayugianya hendaklah dibuang atau dibenci.
5.      Hati tempat penglihatan dan nilaian Allah manakala jasad lahir tempat pandangan makhluk.
6.      Hidayah yang lahir, ia adalah punca dari yang batin atau roh atau hati.
7.      Ketahanan yang lahir adalah berpunca daripada ketahanan yang baik yakni roh atau hati.
8.      Penyakit lahir hanya manusia yang benci, tapi penyakit batin Allah yang benci.
9.      Rasulullah SAW menyuruh takut dengan pandangan mata hati atau pandangan roh. Allah tidak mengatakan agar takut kepada pandangan mata kasar.
10.  Penyakit lahir tidak membawa permusuhan, perpecahan dan peperangan, tapi penyakit batin membawa pergaduhan, perpecahan dan peperangan.

Oleh kerana pentingnya hati dan roh, maka ia hendaklah dijaga sungguh-sungguh iaitu :
a.       Wajib kita member makanan yang cukup. Makanannya ialah sembahyang, zikrullah, membaca Al-Quran, tasbih, tahmid, selawat, melihat kebesaran-Nya melalui pemandangan dan mengingati mati.
b.      Memberi ia pakaian iaitu dengan sifat-sifat Taqwa.
c.       Jauhkan dari sebarang penyakit seperti marah, bakhil, pendendam, sombong, riak, ujub dan sebagainya.
d.      Muhasabah terhadapnya selalu.
e.       Sanggup bermujahadah, membersihkan dan memberi ia makan serta pakaian.


No comments:

Post a Comment